Sunday, January 6, 2013

Karma? Apple didenda 1 juta yuan







  Shanghai: Sebuah mahkamah China mendenda Apple Inc sebanyak 1 juta yuan (RM490,000) kerana menggunakan aplikasi pihak ketiga di App Store yang menjual buku elektronik cetak rompak, lapor agensi berita rasmi Xinhua. Apple dikehendaki membayar pampasan kepada lapan penulis di China dan dua syarikat kerana melanggar hak cipta mereka, demikian putus mahkamah itu, kedua tertinggi di Beijing Khamis lalu. Awal tahun ini, sekumpulan pengarang China memfailkan saman terhadap Apple, mendakwa sejumlah aplikasi di App Store yang tidak dikenal pasti jumlahnya menjual salinan tidak berlesen buku-buku mereka.

  Sekumpulan lapan penulis berkenaan telah menuntut 10 juta yuan sebagai ganti rugi. “Kami kecewa dengan penghakiman itu. Sesetengah hasil karya terlaris penulis kami hanya mendapat bayaran 7,000 yuan. Penghakiman itu adalah isyarat yang menggalakkan lagi cetak rompak," kata Bei Zhicheng yang menjadi jurucakap bagi kumpulan itu. Sementara itu, Apple dalam satu kenyataan berkata, pihaknya mengambil perhatian ‘sangat serius’ berhubung aduan pelanggaran hak cipta.

 “Kami sentiasa mengemaskini perkhidmatan untuk membantu pemilik kandungan melindungi hak mereka dengan lebih baik," kata jurucakap Apple, Carolyn Wu. China mempunyai pasaran internet mudah alih terbesar dunia dari segi bilangan pengguna, tetapi cetak rompak menyebabkan kerugian berbilion dolar setiap tahun kepada syarikat perisian. Apple, yang produknya menikmati populariti yang besar di China, berdepan rentetan tindakan undang-undang yang ‘memeningkan kepala’ tahun ini. Julai lalu, Apple membayar 60 juta yuan kepada firma Cina, Proview Technology untuk menyelesaikan tuntutan mahkamah yang lama berlarutan berhubung cap dagangan iPad di China. - Reuters

Sumber: Berita Harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...